My Story


Nama saya Razi Mahmood. Saya berkelulusan Master in IT dari Universiti Putra Malaysia, Ijazah Perakaunan dari Cardiff Business School dan Diploma International Baccalaureate dari Kolej Mara Banting. Saya juga adalah HRDF-Certified Trainer (No. EMP/1651 ). Dengan latarbelakang ini, saya mempunyai kelebihan hibrid dalam bidang Pengurusan Perniagaan dan Teknologi Maklumat.

Saya adalah anak kelahiran Kampung Sungai Baru Gunong, Alor Setar Kedah. Ayah saya adalah seorang pesara kerajaan. Rutin alam persaraannya sangat teratur. Aktiviti hariannya banyak tertumpu di masjid dan kebun. Beliau juga sangat mementingkan pendidikan anak bangsa; beliau pernah memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi PIBG Sekolah Rendah Sri Gunong (SRSG) Alor Setar Kedah.

Ayah saya mengajar saya satu prinsip yang penting iaitu Hidup perlukan sistem dan Pendidikan itu teras utama kejayaan kita.

Prinsip itulah yang mendorong saya untuk gigih belajar dan mendapat nombor satu dalam setiap peperiksaan sehingga tamat sekolah rendah. Kemudiannya, saya ditawarkan tempat di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh Perak.

STAR menawarkan dua aliran pengajian iaitu Aliran Seni Perusahaan dan Aliran Perdagangan. Saya bertanya kepada ayah bidang yang mana satukah difikirkan berpotensi untuk masa depan saya. Jawab ayah, "Belum ada anak ayah yang menceburi pengajian pengurusan perniagaan. Pilihlah Aliran Perdagangan". Dengan nasihat itu, saya tekad mengikuti Aliran Perdagangan. Lima tahun saya berada di STAR berkesudahan dengan pencapaian SPM yang cemerlang dan sekaligus menobatkan saya sebagai Pelajar Terbaik SPM STAR pada tahun 1992.

Hobi saya membaca dan menulis. Sewaktu di sekolah rendah lagi, saya sudah meminati Majalah Dewan Masyarakat dan Reader's Digest. Bahan bacaan ini secara tidak langsung membantu saya menguasai kosa kata dan gaya bahasa dalam penulisan.

Di STAR, saya juga telah bertemu dengan sejenis bahasa baru yang agak aneh tetapi revolutionary iaitu Bahasa Pengaturcaraan (Computer Programming). Fenomena manusia "bercakap" dengan komputer melalui kod ini agak aneh tetapi saya tidak kekok mempelajarinya kerana sudah terbiasa bermain angka dan kod transaksi dalam subjek Perakaunan. Pada usia 13 tahun, saya mula mempelajari bahasa Basic dengan berguru dan melalui buku-buku rujukan yang terdapat di perpustakaan. Projek mainan saya ialah menghasilkan Role Playing Game (RPG). Kebetulan buku RPG agak popular pada ketika itu.

Dengan keputusan SPM yang cemerlang, saya ditawarkan program Diploma International Baccalaureate (IB) di Kolej Mara Banting. Program IB ini agak menarik kerana ia turut memasukkan elemen Creativity, Action dan Service (CAS) ke dalam kurikulum. CAS menekankan penglibatan dalam aktiviti luar kelas dan kemasyarakatan. Saya telah dilantik menjadi Pengerusi untuk Kelab Art & Design dan Kelab Tuisyen.

Melukis adalah hobi ketiga saya selepas membaca dan menulis. Melalui Kelab Art & Design, kami telah menghias dinding kelas dengan lakaran mural berkonsepkan nusantara. Melalui Kelab Tuisyen pula, kami memberikan khidmat mengajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Olak Lempit. Kegiatan CAS seperti ini menjadikan saya sangat sibuk sepanjang minggu. Namun demikian, pengalaman seperti ini sangat bermakna kerana ia membantu melengkapkan diri untuk lebih berdikari dan berdaya saing pada masa hadapan.

Setelah Program IB tamat dan sementara menunggu kemasukan ke Universiti, saya bekerja sebagai Pereka Grafik di sebuah syarikat iklan di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. Ketika itu usia saya 18 tahun. Berbekalkan pengalaman dan kemahiran yang ditimba semasa berada di dalam Kelab Art & Design, saya menggunakan aplikasi Corel Draw untuk menghasilkan berbagai jenis Artwork mengikut spesifikasi pelanggan seperti business card, catalog, poster dan sebagainya. Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran saya dalam bidang Desktop Publishing (DTP) malah ia memberikan pendedahan real world dalam bidang pemasaran produk dan perkhidmatan. Iklan memainkan peranan kritikal dalam membentuk persepsi pelanggan terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan.

Apabila saya mendapat peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan di Cardiff Business School UK, saya membuat perancangan penggunaan masa dengan strategik agar tempoh pengajian di sana dimanfaatkan sebaiknya. Saya mengisi masa lapang saya dengan kegiataan keusahawanan, pengaturcaraan komputer dan pembangunan multimedia.

Antara kegiatan keusahawanan yang saya pernah lakukan adalah membuat rekabentuk poster dan menjualnya secara online melalui mailing list. Saya dan rakan-rakan juga telah menyertai satu rangkaian perniagaan kad panggilan antarabangsa yang membolehkan pelajar membuat panggilan yang lebih murah ke Malaysia dari UK. Perniagaan ini mendatangkan pulangan yang baik; kami berjaya membeli sebuah kereta wagon second hand jenama Vauxhall semata-mata dengan hasil jualan kad. Kini kami sudah mampu bergerak ke bandar lain seperti Birmingham, membeli barangan keperluan pelajar secara pukal dan menjualnya di Cardiff. Aktiviti keusahawanan membuatkan saya begitu sibuk sepanjang berada di UK.

Setelah bergraduat dan pulang ke Malaysia, saya menyertai Jurutera Perunding Zaaba Sdn Bhd (JPZ) sebagai seorang eksekutif pengurusan. Saya bertanggungjawab menyediakan akaun bagi syarikat-syarikat di dalam kumpulan JPZ. Saya juga bertanggungjawab menyediakan payroll bagi semua kakitangan dalam kumpulan JPZ. Penyediaan payroll agak mencabar kerana ia bersifat sensitive dan time critical. Dengan kemahiran Computer Programming yang saya pupuk sebagai hobi sebelum ini, saya telah bangunkan dua aplikasi yang berjaya memendekkan tempoh pemprosesan payroll secara manual 6 hari kepada 2 hari sahaja melalui kaedah elektronik menggunakan kombinasi teknologi database seperti MS SQL, FoxPro dan Ms Access.

Proses meneliti masalah dan membangunkan penyelesaian ini agak mencabar. Saya kerap berkunjung ke kedai buku Kinokuniya di KLCC untuk menelaah bahan rujukan Computer Programming dan Database. Oleh kerana saya telah melakukan terlalu banyak personal homework untuk kepuasan diri dan peningkatan mutu di tempat kerja, maka saya mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran secara separuh masa dalam bidang Teknologi Maklumat di UPM. Malah kedua-dua projek aplikasi yang saya bangunkan di JPZ telah saya bentangkan sebagai projek akhir dalam Tesis Master saya. (Aplikasi itu kemudiannya dijual kepada JPZ selepas saya berhenti kerja di sana)

Sebaik bergraduat dengan Ijazah Master dari UPM, saya merasa terdorong untuk membantu orang lain belajar dan berjaya. Saya lalu meletakkan jawatan di JPZ dan menyertai Binary University College of Management & Entrepreneurship (Binary). Binary agak unik kerana ia khusus dalam dua bidang iaitu IT dan Bisnes. Secara kebetulan pula ia sama dengan latar belakang akademik saya.

Saya ditugaskan mengajar subjek Programming, Accounting Information System (AIS), E-Commerce dan E-Marketing. Kursus-kursus ini asalnya adalah dari program Twinning bersama University Of Tasmania Australia dan University Of Sunderland UK. Pada masa tertentu, wakil mereka akan datang memberikan penerangan lanjut tentang kandungan modulnya. Pengalaman ini sangat menarik kerana pada ketika itu istilah AIS, E-Commerce dan E-Marketing masih sangat baru di negara ini.

Kerjaya saya dalam dunia akademik bermula hampir serentak dengan era dunia Media Sosial. Pengguna Internet masih di peringkat berkenalan dengan Facebook, Wordpress, Flickr, Friendster dan lain-lain. Saya memperkenalkan inovasi dalam pembelajaran dengan menerbitkan laman www.notarazi.wordpress.com sebagai tempat pelajar saya mendapatkan nota kuliah dan tugasan masing-masing. Pelajar-pelajar sangat teruja dan mereka memberikan saya anugerah "The Most Creative Lecturer 2004".

Penghargaan pelajar ini mendorong saya untuk terus membuat inovasi. Bersama beberapa orang rakan, saya tubuhkan sebuah syarikat bernama KRIM Enterprise yang bermatlamat menganjurkan program pembangunan diri untuk pelajar pra-universiti. Kami bekerjasama dengan tokoh-tokoh seperti Dr Muhaya, Dr Robiah, Dr Hamdi, Ustaz Hasrizal dan lain-lain untuk meniup semangat peserta untuk berusaha dan berjaya dalam pengajiannya. Antara kumpulan peserta yang signifikan adalah pasukan pengasas www.iluvislam.com .

Hasrat saya menubuhkan KRIM adalah untuk menjadi satu platform yang boleh memupuk semangat dan daya juang yang tinggi di kalangan anak bangsa. Ternyata ia satu perjuangan yang disambut dan dijulang oleh mereka yang terlibat. Pada tahun 2007, KRIM telah berjaya dibentuk sebagai NGO bernama Kelab Rakan Intelek Muda atau singkatannya INTELEK (https://www.facebook.com/IntelekET).

KRIM/INTELEK sedikit-sebanyak telah menyuntik semangat saya untuk menyambung pelajaran di peringkat Phd. Saya telah menyertai program Phd di UITM yang memberi tumpuan kajian dalam bidang elektronic commerce. Walaubagaimanapun, sejurus selepas Phd Proposal saya diterima, saya telah ditawarkan satu opportunity aka adventure iaitu menambahbaik sistem maklumat rangkaian perniagaan di Malaysia Timur. Bagi saya, bekerja di Sabah dan Sarawak dan membangunkan sistem maklumat rangkaian perniagaan francais adalah real world experience yang rare (peluang yang tidak akan datang berulang kali).

Pada tahun 2007, saya terbang ke Sarawak dengan misi untuk membuat penambahbaikan pada sistem maklumat rangkaian restoran Sugarbun. Kakitangan pengurusan restoran dan ibupejabat sudah biasa dengan sistem sedia ada iaitu aplikasi MS Office dan aplikasi UBS. Saya perkenalkan alternatif Cloud (pada waktu itu istilah Cloud masih sangat baru) iaitu Google Docs untuk menggantikan MS Office dan WebERP untuk menggantikan UBS. Pengetahuan saya dalam bidang Perakaunan dan Pengurusan Perniagaan memudahkan saya membuat analisa kelemahan sistem sedia ada dan menawarkan solusi yang lebih cekap dan berkesan.

Sekembalinya saya dari Sarawak, saya telah membuat pembentangan konsep (pitching) solusi saya di sana kepada wakil syarikat A, B dan C di Kuala Lumpur. Syarikat-syarikat ini sedang di dalam proses mengembangkan perniagaan butik dan mewujudkan francais. Sistem maklumat Cloud akan memudahkan pengurusan memantau perjalanan perniagaan di seluruh pelusuk negara.

Syarikat C mempelawa saya membuat kajian sales, marketing dan production serta menghasilkan sistem bersepadu bermula dari peringkat ordering hinggalah ke peringkat order fulfillment. Saya turun ke setiap bahagian perniagaan membuat analisa yang berkaitan. Saya juga menyertai pasukan production menjalani latihan memotong pakaian Baju Kurung dan Baju Melayu supaya dapat menghayati keseluruhan workflow yang boleh diautomasikan ke dalam WebERP. Tahun itu merupakan tahun intensif saya terjun ke dalam industri peruncitan dan pembuatan pakaian. Saya bukan sahaja telah mendalami pengetahuan dalam pengurusan maklumat perniagaan malah saya juga memperolehi satu kemahiran baru iaitu memotong dan menjahit pakaian. Pengalaman ini telah saya catatkan di dalam blog peribadi saya www.kreativworks.blogspot.com.

Dengan pengetahuan dan pengalaman yang ditimba dalam perniagaan rangkaian peruncitan dan francais, saya seterusnya memberanikan diri menyertai syarikat sekutunya sebagai Pengurus Pemasaran. Saya mencabar diri saya untuk membuat kempen pemasaran yang boleh mencatat jualan 7 angka. Bermula dari lokasi butik di Kuala Lumpur, saya dan pasukan telah memecahkan strategi kami kepada beberapa sasaran iaitu sasaran tempatan, elit, nasional dan antarabangsa. Kami menggunakan kempen SMS bagi sasaran tempatan, menyewa kios bagi sasaran elit, mendapatkan rakan kerjasama bagi sasaran nasional dan menggunakan Google Adwords bagi sasaran antarabangsa. Kepelbagaian strategi ini masing-masing memberikan kami cabarannya yang tersendiri. Diringkaskan cerita, pasukan kami berjaya meraih jualan kutipan musim raya melepasi sasaran 7 angka!

Yakin, usaha, doa dan tawakal. Itulah rahsia kejayaan.

.